12.10.14

Aduh, bahang panas bumi Saudi memang menyengat! Barangkali bertepatan dengan status diri yang banyak berdosa. Getusan kurang selesa yang sama sahaja dengan sindiran rakan-rakan, mengaitkan panas dengan dosa. Sinonim, mungkin. Teringat kisah-kisah yang dibaca dalam majalah Mastika tentang azab dialami pendosa yang datang ke 'Haramayn'; dua kota suci Islam Mekah Mukaramah dan Madinah Munawarah. Bimbang juga (hehehe). Ah, persetankan majalah dungu menjual aib manusia, tidak lain menakutkan manusia untuk ke kota suci ini bukan menggalakkan!

Masjid Nabi atau Nabawi, Madinah Munawwarah. Harmoni
Dunia hari ini, umat juga diajak untuk membenci agama, kitab dan tidak hairanlah membenci Nabi, Tuhan sekalipun. Apa tidaknya, kononnya mengajak manusia mendekati Tuhan tapi dengan kekasaran, kebencian, keaiban, kekejian dengan menyandarkannya pada nama Islam, Quran dan Allah. Ugutan dosa, azab dan neraka juga menjadi perencah dalam 'dakwah'. Bukankah ugutan dan peringatan harus datang setelah jelasnya nasihat dan pengajaran?

Kubah Hijau
Saya termenung sebentar sambil memerhati suasana di halaman masjid yang luas, dipenuhi warga manusia lalu-lalang. Teringat Muhamad s.a.w di akhir saatnya, masih mengenangkan umatnya yang terkehadapan. Nah, begitu kasih dan sayangnya baginda kepada kita. Bimbingannya berteraskan 'Mahabah' dan 'Mawadah'. Bukan ligat menuding jari, tidak liar menzahirkan kesilapan orang lain dan jauh sekali lantang dan megah meludah "salah!" ke muka orang lain.

Pagi itu, saya sakit kepala, letih dan mengantuk. Lawatan ke sekitar Madinah seperti ladang kurma, Masjid Quba, Masjid Qiblatain dan lain-lain saya terlepas. Emak, ayah dan abang juga tidak pula mengejutkan saya. Sebagai ganti saya keluar mengambil sedikit angin melihat bandar Madinah. Sambil giliran mereka pula untuk tidur petang itu.

Takjub dengan kota yang kian dibanjiri umat manusia, ekonomi yang giat berlangsung seawal pagi sehingga lewat malam. Kota yang panas mentarinya menerik, menimbulkan rasa dahaga  dan kulit kekeringan yang tiada keistimewaan melainkan tempat ibadah dan kesan peninggalan.

Lupa tentang info dan fakta pintu ini selain ianya tidak dinafikan sangat indah!
Menara ini mengingatkan saya akan Ala', pensyarah dari Mesir menegur
saya ketika saya membaca Quran katanya terpegun
Realitinya, masing-masing giat menjenamakan 'Islam', melabel dan menghukum antara satu sama lain. Saya bingung, adakah Islam itu jenama tidak pula saya ketahui melainkan apa yang saya hanya tahu Islam bermaksud kesucian, keamanan, ketaatan dan berserah diri.

Kebanyakannya pula bersifat judgemental dan tidak profesional. Berjubah berkopiah baik dan soleh manakala sebaliknya adalah sebaliknya. Sedangkan agama tiada uniform. Double Standard. Kolot!

Ianya kelihatan seakan sempit dan dangkal. Islam dijadikan tempurung. Umat hilang hak penghormatan selain hak-hak kebebasan. Pemikiran menjadi terhad kerana pantas bersuara, pantas pula diadili sebagai sekular, liberal dan sebagainya.

Bagi saya, Islam lebih sinonim dengan kompas, bukan sebagai tempurung.

Dengan kompas, ianya bisa membawa pengembara ke serata dunia sebagai panduan. Mustahil tidak tersalah jalan, tetapi destinasi dituju mampu dijelajahi. Dengan tempurung, jadilah 'katak di bawah tempurung'.
Berjalan kaki ke Masjid Al-Haram dari hotel

Masjid Al-Haram pada lewat malam
Inilah kota Mekah, tempat seorang pemuda yang tidak bersetuju dengan amalan jahiliyah pada zamannya yang menindas lantas baginda membawa diri bersendirian ke dalam gua Hira'. Tidak jauh berbeza dengan penindasan pada dunia sekarang. Yang susah bekerja keras memerah keringat, yang bersenang-lenang pula diam-diam menyeluk poket yang susah. Amanah tanggungjawab diberi kepada khianat, dan yang tidak layak berada di atas. Global dan stereotype.

Itulah perkara pertama yang baginda ingin betulkan selain mengajak penduduk Mekah mengesakan Tuhan. Dimulakan dengan tatih pengenalan kepada Tuhan. 'Tak kenal maka tak cinta'. Pembawaan juga tidaklah radikal dan drastik.

Teringat pula saya lima tahun lalu. Saya selalu melazimi masjid tetapi bukan kerana cintanya kepada masjid bahkan kerana tidak mahu didenda atau dirotan. Hanya beramal membabi buta. Mungkin kerana itu amalan tersebut tidak menjadi istiqamah dan berpanjangan jauh sekali berkekalan.

Singgah di Masjid terapung di Jeddah, pesisir Laut Merah sementara ke lapangan terbang untuk pulang
Melayan perasaan di pantai Laut Merah selepas berpisah dengan mak dan ayah
Laut merah, namanya sungguh ironi kerana airnya langsung tidak berwarna merah. Kadang-kadang nama hanya sekadar nama tanpa ada apa-apa signifikan. Saya bimbang jikalau saya begitu bangga atas nama Muslim tetapi tidak memanifestasikan definisi sebenarnya. Saya akui saya langsung tidak bangga dilahirkan sebagai Muslim. Walaubagaimanapun, saya percaya bahawa semuanya mencuba kepada pembaikan. Tiada yang sempurna, tiada juga tanpa khilaf dan celanya.

Pemandangan dari Jabal Rahmah
Kasih sayang adalah kuasa luar biasa. Kasih dan sayang juga satu hikmah. Baginda mengajak manusia kepada kebenaran kerana cintanya kepada manusia daripada tersesat dan terpesong, bukan sekadar mencari kesalahan untuk memberi teguran kebencian. Benar, kembara ke Haramayn adalah kembara menelusuri kasih dan sayang Muhamad s.a.w. Kembara ziarah dan hikmah. Kembara umrah dan ibadah, bukan kembara biasa. Saya berharap ianya juga merupakan kembara hidayah.

Aduh, bahang panas dan kering masih terasa!

19.3.13

Hidangan era Uthmaniyah. Tomato, keju, terung, daging kambing & rempah menjadi teras rasa
Lembut bayu sejuk Istanbul dan indah saljinya memutih masih memekar di bingkisan memori. Baru sahaja selesai melawat Ayasofya berjalan-jalan santai menghayati persekitaran dan menemani jiwa sendiri, dipelawa seorang pemuda Turki untuk menjamu selera di restorannya. 

Makan tengahari ringkas ditemani Ayasofya 
Apa yang menarik perhatian ialah menu hidangan yang ditawarkan dan harganya berpatutan. Lokasinya juga tidak menghampakan. Saya tidak melepaskan peluang untuk makan berlatar-belakangkan Ayasofya.

Pada mulanya saya berminat untuk mencuba Testi Kebab, kebab yang dimasak dalam pot tanah liat, dipecahkan semasa hendak dihidang. Tetapi hidangan tersebut khas untuk sekurangnya tiga orang, membuatkan saya mengambil keputusan untuk mencuba Kaserol kambing, terung dengan keju dan pes tomato, dihidang bersama roti dan jus buah delima.

Aromanya seakan pizza topping air tangan emak saya, barangkali kerana semerbak bau Oregano. Terus terang, saya memang penggemar keju dan daging kambing, tidak hairanlah jika saya rasa hidangan pada petang itu sangat sempurna. Dihidang panas-panas dengan kombinasi rasa terung dan tomato yang begitu unik menjelirakan lagi selera. Jus delimanya pula sungguh pekat, rasanya kelat dan pahit. Manisnya muncul pada setiap hujung hirupan, menagihkan lidah untuk ke hirupan seterusnya.


Udang dan cendawan dimasak dengan mentega, makan malam bersama Peter
Secara umumnya, makanan Halal memang mudah ditemui di Eropah sekarang kerana meningkatnya bilangan Muslim di sana akhir-akhir ini. Tetapi julat harganya pelbagai. Kebanyakannya restoran eksklusif yang menawarkan harga dalam lingkungan puluhan hingga ratusan Euro. Agak susah untuk mendapatkan restoran Halal yang murah melainkan perlunya tinjauan yang rapi atau nasib yang baik.


Makan malam dalam tren ke Lapangan Berlin-Schonefeld
Namun saya dapati di Vienna dan Berlin, begitu mudah untuk mendapatkan gerai-gerai kecil makanan Asia yang menjual berbagai jenis mee. Sayuran dan udang tiada syarat khusus untuk menentukan ianya Halal, dan sos soya langsung tidak mencurigakan. Di Berlin, saya singgah di sebuah gerai di stesen metro untuk membeli mee, yang dijual oleh seorang wanita Kemboja. Sempat bertegur sapa tetapi katanya tidak berapa tahu berbahasa Inggeris, hanya boleh bertutur dalam  Deutsch dan Khmer.


Asam Laksa di Vienna, di restoran milik seorang pak cik Cina warganegara Malaysia yang ramah!
Sarapan pagi sambil mengagumi Masjid Biru



Sesampainya di hostel semasa di Istanbul, saya disambut mesra dan terus dipelawa untuk bersarapan. Kebiasaannya, hostel memang akan menyediakan sarapan pagi. Tidak perlu bimbang akan taraf kesuciannya kerana ianya biasanya hanyalah bijiran, susu, teh, kopi, roti, marjerin, keju, jem dan buah-buahan.

Tidak menjadi masalah bagi saya untuk bertanyakan tentang sarapan pagi jika/walaupun telah dinafikan semasa membuat tempahan online. Jika nasib menyebelahi, pihak hostel tidak lokek untuk menyediakan sarapan walau hanya dengan roti sekeping dua, yang amat bernilai sebagai alas perut sebelum meneroka bandar. Jika tidak, tiada ruginya untuk sekadar bertanya.

Kedai Pizza A Taglio milik Arab Mesir, di Rom berdekatan stesen Roma Termini
Itali memang terkenal dengan piza dan pasta. Saya begitu gelojoh untuk merasa Piza Itali yang asli dan tempatan sehinggakan tersalah kedai. Pada pengetahuan saya, ada terdapat sebuah kedai piza bernama Pizza A Taglio yang menjual pizza tempatan yang halal. Tetapi tanggapan saya bahawa hanya ialah satu-satunya Pizza A Taglio memang salah. Pada kali pertama bertemu Pizza A Taglio, labelnya berwarna hijau dan tiada pula tanda Halal dipamerkan. Namun kerana sangat lapar, sempat kami melantak beberapa potong pizza. Tersebutlah kisah apabila ternampak pula Pizza A Taglio berwarna kuning (gambar) yang terpampang tanda Halal. Berdekatan dengannya, berderet restoran Halal yang lain antaranya restoran Arab yang kami kunjung untuk mendapatkan nasi. 

'A Taglio' bermaksud yang dipotong. Pada hemat saya, yang 'dipotong' itu ialah dagingnya disembelih. Rupanya yang dipotong itu ialah piza itu sendiri, kerana pizanya dibuat begitu besar dan dijual mengikut gram.

Manakala di Florence, kami bernasib baik kerana pemilik hostel Locanda Rocco merupakan muslim dari Albania. Dua pemuda yang bertugas juga muslim dari Albania. Salah seorangnya sangat mesra dan dengan sukarelanya menunjukkan kami restoran Turki yang berdekatan. Doner kebab kambingnya sangat lazat! Seorang lagi gelagatnya sedikit garang dan ketat.


Di Maddina Tandoori Restaurant berdekatan Ponte Vecchio, ada juga dihidangkan dengan menu pasta dan pizza (dalam video) tidak lupa juga pelbagai hidangan Pakistan. Menurut pemiliknya yang menyifatkan nama saya seakan nama gangster di Pakistan, Yang Di Pertuan Agong ada singgah untuk makan di restorannya beberapa bulan sebelumnya. Bersungguh dia meyakinkan kami dengan menunjukkan sekeping gambar dia bersama Tuanku Abdul Halim.

Kesimpulan, Itali seluruhnya cukup mudah untuk mendapatkan restoran milik muslim tidak kiralah Turki, Maghribi, Libya, Mesir atau lain-lain. Penat berjalan-jalan, nikmatnya bila bertemu makanan.

Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut suka hati!

Saya ketika di Venice. Restoran kecil menjual piza dan kebab yang dikhabarkan pemiliknya muslim dari Iran

26.2.13


Semua tidur keletihan di lapangan terbang Geneva sementara menunggu penerbangan seterusnya ke Sharm El Syeikh
Istilah 'backpacker' memang sering digunakan dan menjadi tidak asing lagi sekarang ini. Saya berpendapat istilah ini kurang tepat jika sekadar menggalas beg, tidur di hostel murah, melawat seperti pelancong biasa dan hanya dalam jangka masa minggu. Backpacking sebenar ialah satu cabaran mengembara bukanlah pelancongan biasa.

Oleh itu, saya rasa istilah 'flashpacker' atau 'poshpacker' lebih berpatutan bagi pengembara yang lebih versatil. Dengan pemerhatian saya ber'flashpack' sebelum ini, dapat saya keluarkan 15 ciri-ciri poshpacker/flashpacker sejati yang muslim.


Mursyid dekat
Ponte Vecchio
Solat jamak sepanjang jalan
Nikmatnya solat jamak hampir setiap hari! Saya memang betul-betul merebut peluang kelonggaran ini setiap kali keadaan menepati dan menyebelahi. Ini antara perkara yang saya paling suka bila mengembara





semasa di Murano
Tidak kisah solat di mana-mana
Sujud di mana-mana sahaja bukan perkara yang ganjil lagi jika menjadi kebiasaan. Tidak juga terasa segan sedikitpun untuk bersolat di depan orang belum muslim di dalam bilik yang sama. Semasa di hostel di London, saya seorang sahaja Muslim di dalam satu bilik 12 orang & tidak menghalang saya untuk solat ketika itu



Bersama Arab
 Mesir di Rom
Terasa nikmat bila jumpa masjid
Walaupun jujurnya jarang ke masjid tetapi bila berada di negara yang dipenuhi gereja-gereja, masjid ibarat permata dalam kaca. Kagum dengan Grande Moschea di Roma yang amat besar dan indah!





Arab Tunisia 
di Venezia
Teruja bertemu sesama Muslim
Dapat bertemu dan berinteraksi dengan orang tempatan memang menakjubkan. Tetapi lebih mengujakan bila bertemu pelancong Muslim mahupun orang tempatan tambah-tambah lagi di negara bukan Islam.




Bilik di Firenze
Memerap dalam hostel pada waktu malam
Kebiasaannya ramai pelancong yang gemar beraktiviti malam di kelab, bar dan pub. Saya dan kawan-kawan biasanya hanya berkurung dalam hostel, menghabiskan masa berfacebook






Kebab di kedai
milik muslim Iran
Kebab dianggap makan besar
Dalam susah mencari kedai makanan Halal, songeh perut meminta nasi jangan dilayan. Syawarma atau Doner kebab jauh lebih baik daripada mee segera, biskut dan roti






Saya di dalam
tren di La Spezia
Botol mineral aset berharga
Kebanyakan teman-teman seperjalanan saya tidak terus membuang botol mineral setelah habis diminum tetapi disimpan untuk diisi air bagi tujuan bersuci. Tidak kiralah air besar, air kecil ataupun untuk berwuduk




Hari terakhir di
Venezia
Berselisih tentang kiblat & waktu solat perkara biasa
Pernah sekali, aplikasi waktu solat dan kompas saya berbeza dengan teman saya. Ada yang mengikut saya, ada yang bersetuju dengan teman saya dan ada juga mengukur dengan bayang matahari. Epik!




Arab Lubnan yang
membantu kami
Berbahasa Arab kemahiran berharga
Semasa kami mencari makanan Halal di kota Rom pada waktu malam dan semuanya sudah letih, tiba-tiba terdengar dua orang pejalan kaki berbahasa Arab. Saya menebalkan muka untuk bertanya dan mereka membawa kami ke sebuah restoran Turki. Memang jarang Arab boleh berbahasa Inggeris




Teman Arab saya
Sugi selain sunnah
Jika malas membeli ubat gigi atau leceh untuk bawa, saya dapati ada yang menggunakan kayu sugi. Bukan apa, ubat gigi tidak boleh dibawa masuk ke dalam kabin kapal terbang jika lebih 100ml dan berus gigi pula melecehkan kerana selalu tertinggal




Memanjakan perut
semasa di Firenze
Pura-pura ‘vegetarian’
Kalau memang terdesak tidak bertemukan restoran Halal, jalan inilah yang saya ambil. Pernah satu kali saya membeli piza sayuran dan kemudiannya teman saya memberitahu ianya dipotong dengan pisau yang sama memotong piza bacon! Teman saya mengambil keputusan untuk membeli burger ayam walhal tidak tahu taraf 'kesucian' ayam tersebut.




Almdudler
Tidak minum walaupun haus
Almdudler di Austria memang kelihatan meragukan. Semasa saya beratur di Hamburg pula, ada ditawarkan segelas air seakan wain merah. Semua melihat saya apabila saya bertanya apakah air itu. Sungguh memalukan! Ada pula teman hostel di Berlin mengajak keluar minum di bar dan sungguh pelik dia apabila saya mengaku tidak minum



Tandas cangkung
di masjid Rom
Terbiasa berwuduk di dalam tandas atau di sinki
Orang Arab memang sudah biasa menggunakan sinki sebagai tempat berwuduk. Tetapi menjadi kebiasaan juga bila ke negara bukan Islam. Rimas juga bila semua memandang saya semasa berwuduk di tandas lapangan terbang Gatwick dan ada yang sampai memesan supaya tidak menumpahkan air ke lantai




Restoran halal
di Venezia
3 perkataan bermakna: ‘Muslim’ ‘Pray’ ‘Halal’ 
Memang saya rasa betapa bermaknanya tiga perkataan ini. Yang paling penting untuk menggayakan sedikit tangan ketika bertanyakan 'Pray?' bagi tujuan mencari masjid.






Dudek yang gedik
Jakun melihat orang bercumbu!
Ada di kalangan teman-teman saya yang begitu bersemangat menceritakan pengalaman melihat orang berciuman di tempat awam. Mungkin pelik kerana bukan budaya biasa di negara-negara Islam terutamanya Malaysia





25.2.13

Kenangan ketika sedang mendaki tebing dari Vernazza ke Corniglia, taman negara Cinque Terre
Ragam dan tingkah orang bervariasi bezanya. Itu yang dapat saya simpulkan bila bermusafir secara berkumpulan. Variasi itu jugalah yang menambahkan lagi warna-warni memori serta pengalaman bersama-sama merantau. Secara peribadinya, saya kurang memilih untuk berjalan dalam kelompok yang besar lebih daripada empat kelima individu. 

Saya dan Mursyid, teman sejak di bangku sekolah menengah



Tapi begitulah hakikatnya bila kawan saya meminta untuk tolong membawa mereka ke Eropah dengan cara kos yang murah. Pada mulanya dia mencadangkan untuk ke Turki dan bersama beberapa kawan satu sekolah menengah dahulu. Saya pula mencadangkan untuk ke Itali setelah saya mendapati ada jalan yang lebih murah berbanding ke Turki. Semuanya berubah apabila hanya kami berdua sahaja yang memutuskan untuk pergi. 

Saya kemudiannya kurang bersemangat dan melupakan rancangan ini. Dalam diam, kawan saya mengajak beberapa rakannya dan saya juga ada mengajak ayam pelajar junior tahun satu yang saya kenal. Tanpa diduga, kami sekumpulan bersetuju untuk pergi walaupun tidak mengenali antara satu sama lain dengan dekat.


Sekali lagi saya ke negara beriklim sejuk pada musim sejuk! Saya berasa kurang selesa dengan ilusi meredah hawa dingin dan jalan basah yang bermain di fikiran tetapi demi teman, saya optimis. Lagipun saya memang tiada rancangan lain dan juga ingin merasai pengalaman bermusafir bersama Mursyid. Idea yang menarik pada hemat saya.

Dalam Colosseo
Saya & teman-teman di Colosseo
Kawan-kawan yang saya bawa terdiri daripada junior-junior satu universiti manakala kawan-kawan Mursyid pula terdiri daripada senior daripada universiti yang berlainan.


Di Rom, saya nampak mereka sedikit kaget untuk berinteraksi malah masih tidak dapat mengingati nama dengan betul walaupun kami sudah berutusan melalui facebook. Sangat kartun!

Sebelum kami tawan beratus anak tangga untuk naik ke cupola St Peter Basilica di Vatican
Setelah makan bersama, jalan bersama dan tidur bersama semua kelihatan rapat dan mesra. Apa yang kurang tentang berjalan ramai adalah kerugian masa. Maklumlah, ada yang lambat dan banyak pula kepala yang perlu dituruti, mengambil sedikit masa untuk merancang perjalanan seharian di sana.

Menara Pisa memang benar-benar condong!
Teringat pula kisah semasa hendak ke Pisa. Kami terlepas tren kerana ada salah seorang di antara kami lambat bersiap. Ada daripada kami yang tidak sebilik, menghalang kami mengejutkan yang lain bangun awal pada pagi itu. Kami terpaksa membeli tiket baru yang harganya jauh lebih tinggi daripada sebelumnya yang kami telah tempah. Saya kagum dengan mereka semua yang hanya reda dan berlapang dada. Itu langsung tidak menghalang mereka dari bersuka ria dan berlawak jenaka.

Di Pantai Monteresso Al Mare
Di pantai Vernazza
Kampung di Vernazza
Berlatar belakangkan bandar Firenze atau Florence. Memang mengantuk!
Bergambar semasa di Pulau Murano, Venice
Berdekatan dengan Piazza San Marco
Cukup rindu akan saat bergembira bersama di Itali. Memori bersama di sana bukanlah semuanya manis tapi yang pasti sedap rasanya. Ibarat masakan yang cukup rasa masam masin dan manisnya. Sungguh bertuah dapat mengenali mereka dan mengecapi rasa kebersamaan. 

Benarlah kata orang, bermusafir boleh merapatkan lagi tali persahabatan. Personaliti juga dapat dikenali secara lebih dekat. Saya juga sedikit sebanyak dapat menilai peribadi setiap daripada mereka berdasarkan reaksi terhadap masalah, ketika susah dan senang. Barangkali mereka juga dapat menilai diri saya sebenar.

Tidak percaya, cubalah!

 
Facebook Instagram Facebook