12.10.14

'Haramayn'

| | 0 comments
Aduh, bahang panas bumi Saudi memang menyengat! Barangkali bertepatan dengan status diri yang banyak berdosa. Getusan kurang selesa yang sama sahaja dengan sindiran rakan-rakan, mengaitkan panas dengan dosa. Sinonim, mungkin. Teringat kisah-kisah yang dibaca dalam majalah Mastika tentang azab dialami pendosa yang datang ke 'Haramayn'; dua kota suci Islam Mekah Mukaramah dan Madinah Munawarah. Bimbang juga (hehehe). Ah, persetankan majalah dungu menjual aib manusia, tidak lain menakutkan manusia untuk ke kota suci ini bukan menggalakkan!

Masjid Nabi atau Nabawi, Madinah Munawwarah. Harmoni
Dunia hari ini, umat juga diajak untuk membenci agama, kitab dan tidak hairanlah membenci Nabi, Tuhan sekalipun. Apa tidaknya, kononnya mengajak manusia mendekati Tuhan tapi dengan kekasaran, kebencian, keaiban, kekejian dengan menyandarkannya pada nama Islam, Quran dan Allah. Ugutan dosa, azab dan neraka juga menjadi perencah dalam 'dakwah'. Bukankah ugutan dan peringatan harus datang setelah jelasnya nasihat dan pengajaran?

Kubah Hijau
Saya termenung sebentar sambil memerhati suasana di halaman masjid yang luas, dipenuhi warga manusia lalu-lalang. Teringat Muhamad s.a.w di akhir saatnya, masih mengenangkan umatnya yang terkehadapan. Nah, begitu kasih dan sayangnya baginda kepada kita. Bimbingannya berteraskan 'Mahabah' dan 'Mawadah'. Bukan ligat menuding jari, tidak liar menzahirkan kesilapan orang lain dan jauh sekali lantang dan megah meludah "salah!" ke muka orang lain.

Pagi itu, saya sakit kepala, letih dan mengantuk. Lawatan ke sekitar Madinah seperti ladang kurma, Masjid Quba, Masjid Qiblatain dan lain-lain saya terlepas. Emak, ayah dan abang juga tidak pula mengejutkan saya. Sebagai ganti saya keluar mengambil sedikit angin melihat bandar Madinah. Sambil giliran mereka pula untuk tidur petang itu.

Takjub dengan kota yang kian dibanjiri umat manusia, ekonomi yang giat berlangsung seawal pagi sehingga lewat malam. Kota yang panas mentarinya menerik, menimbulkan rasa dahaga  dan kulit kekeringan yang tiada keistimewaan melainkan tempat ibadah dan kesan peninggalan.

Lupa tentang info dan fakta pintu ini selain ianya tidak dinafikan sangat indah!
Menara ini mengingatkan saya akan Ala', pensyarah dari Mesir menegur
saya ketika saya membaca Quran katanya terpegun
Realitinya, masing-masing giat menjenamakan 'Islam', melabel dan menghukum antara satu sama lain. Saya bingung, adakah Islam itu jenama tidak pula saya ketahui melainkan apa yang saya hanya tahu Islam bermaksud kesucian, keamanan, ketaatan dan berserah diri.

Kebanyakannya pula bersifat judgemental dan tidak profesional. Berjubah berkopiah baik dan soleh manakala sebaliknya adalah sebaliknya. Sedangkan agama tiada uniform. Double Standard. Kolot!

Ianya kelihatan seakan sempit dan dangkal. Islam dijadikan tempurung. Umat hilang hak penghormatan selain hak-hak kebebasan. Pemikiran menjadi terhad kerana pantas bersuara, pantas pula diadili sebagai sekular, liberal dan sebagainya.

Bagi saya, Islam lebih sinonim dengan kompas, bukan sebagai tempurung.

Dengan kompas, ianya bisa membawa pengembara ke serata dunia sebagai panduan. Mustahil tidak tersalah jalan, tetapi destinasi dituju mampu dijelajahi. Dengan tempurung, jadilah 'katak di bawah tempurung'.
Berjalan kaki ke Masjid Al-Haram dari hotel

Masjid Al-Haram pada lewat malam
Inilah kota Mekah, tempat seorang pemuda yang tidak bersetuju dengan amalan jahiliyah pada zamannya yang menindas lantas baginda membawa diri bersendirian ke dalam gua Hira'. Tidak jauh berbeza dengan penindasan pada dunia sekarang. Yang susah bekerja keras memerah keringat, yang bersenang-lenang pula diam-diam menyeluk poket yang susah. Amanah tanggungjawab diberi kepada khianat, dan yang tidak layak berada di atas. Global dan stereotype.

Itulah perkara pertama yang baginda ingin betulkan selain mengajak penduduk Mekah mengesakan Tuhan. Dimulakan dengan tatih pengenalan kepada Tuhan. 'Tak kenal maka tak cinta'. Pembawaan juga tidaklah radikal dan drastik.

Teringat pula saya lima tahun lalu. Saya selalu melazimi masjid tetapi bukan kerana cintanya kepada masjid bahkan kerana tidak mahu didenda atau dirotan. Hanya beramal membabi buta. Mungkin kerana itu amalan tersebut tidak menjadi istiqamah dan berpanjangan jauh sekali berkekalan.

Singgah di Masjid terapung di Jeddah, pesisir Laut Merah sementara ke lapangan terbang untuk pulang
Melayan perasaan di pantai Laut Merah selepas berpisah dengan mak dan ayah
Laut merah, namanya sungguh ironi kerana airnya langsung tidak berwarna merah. Kadang-kadang nama hanya sekadar nama tanpa ada apa-apa signifikan. Saya bimbang jikalau saya begitu bangga atas nama Muslim tetapi tidak memanifestasikan definisi sebenarnya. Saya akui saya langsung tidak bangga dilahirkan sebagai Muslim. Walaubagaimanapun, saya percaya bahawa semuanya mencuba kepada pembaikan. Tiada yang sempurna, tiada juga tanpa khilaf dan celanya.

Pemandangan dari Jabal Rahmah
Kasih sayang adalah kuasa luar biasa. Kasih dan sayang juga satu hikmah. Baginda mengajak manusia kepada kebenaran kerana cintanya kepada manusia daripada tersesat dan terpesong, bukan sekadar mencari kesalahan untuk memberi teguran kebencian. Benar, kembara ke Haramayn adalah kembara menelusuri kasih dan sayang Muhamad s.a.w. Kembara ziarah dan hikmah. Kembara umrah dan ibadah, bukan kembara biasa. Saya berharap ianya juga merupakan kembara hidayah.

Aduh, bahang panas dan kering masih terasa!

0 comments:

Catat Ulasan

 
Facebook Instagram Facebook