19.3.13

Akses Halal di Eropah

| | 2 comments
Hidangan era Uthmaniyah. Tomato, keju, terung, daging kambing & rempah menjadi teras rasa
Lembut bayu sejuk Istanbul dan indah saljinya memutih masih memekar di bingkisan memori. Baru sahaja selesai melawat Ayasofya berjalan-jalan santai menghayati persekitaran dan menemani jiwa sendiri, dipelawa seorang pemuda Turki untuk menjamu selera di restorannya. 

Makan tengahari ringkas ditemani Ayasofya 
Apa yang menarik perhatian ialah menu hidangan yang ditawarkan dan harganya berpatutan. Lokasinya juga tidak menghampakan. Saya tidak melepaskan peluang untuk makan berlatar-belakangkan Ayasofya.

Pada mulanya saya berminat untuk mencuba Testi Kebab, kebab yang dimasak dalam pot tanah liat, dipecahkan semasa hendak dihidang. Tetapi hidangan tersebut khas untuk sekurangnya tiga orang, membuatkan saya mengambil keputusan untuk mencuba Kaserol kambing, terung dengan keju dan pes tomato, dihidang bersama roti dan jus buah delima.

Aromanya seakan pizza topping air tangan emak saya, barangkali kerana semerbak bau Oregano. Terus terang, saya memang penggemar keju dan daging kambing, tidak hairanlah jika saya rasa hidangan pada petang itu sangat sempurna. Dihidang panas-panas dengan kombinasi rasa terung dan tomato yang begitu unik menjelirakan lagi selera. Jus delimanya pula sungguh pekat, rasanya kelat dan pahit. Manisnya muncul pada setiap hujung hirupan, menagihkan lidah untuk ke hirupan seterusnya.


Udang dan cendawan dimasak dengan mentega, makan malam bersama Peter
Secara umumnya, makanan Halal memang mudah ditemui di Eropah sekarang kerana meningkatnya bilangan Muslim di sana akhir-akhir ini. Tetapi julat harganya pelbagai. Kebanyakannya restoran eksklusif yang menawarkan harga dalam lingkungan puluhan hingga ratusan Euro. Agak susah untuk mendapatkan restoran Halal yang murah melainkan perlunya tinjauan yang rapi atau nasib yang baik.


Makan malam dalam tren ke Lapangan Berlin-Schonefeld
Namun saya dapati di Vienna dan Berlin, begitu mudah untuk mendapatkan gerai-gerai kecil makanan Asia yang menjual berbagai jenis mee. Sayuran dan udang tiada syarat khusus untuk menentukan ianya Halal, dan sos soya langsung tidak mencurigakan. Di Berlin, saya singgah di sebuah gerai di stesen metro untuk membeli mee, yang dijual oleh seorang wanita Kemboja. Sempat bertegur sapa tetapi katanya tidak berapa tahu berbahasa Inggeris, hanya boleh bertutur dalam  Deutsch dan Khmer.


Asam Laksa di Vienna, di restoran milik seorang pak cik Cina warganegara Malaysia yang ramah!
Sarapan pagi sambil mengagumi Masjid Biru



Sesampainya di hostel semasa di Istanbul, saya disambut mesra dan terus dipelawa untuk bersarapan. Kebiasaannya, hostel memang akan menyediakan sarapan pagi. Tidak perlu bimbang akan taraf kesuciannya kerana ianya biasanya hanyalah bijiran, susu, teh, kopi, roti, marjerin, keju, jem dan buah-buahan.

Tidak menjadi masalah bagi saya untuk bertanyakan tentang sarapan pagi jika/walaupun telah dinafikan semasa membuat tempahan online. Jika nasib menyebelahi, pihak hostel tidak lokek untuk menyediakan sarapan walau hanya dengan roti sekeping dua, yang amat bernilai sebagai alas perut sebelum meneroka bandar. Jika tidak, tiada ruginya untuk sekadar bertanya.

Kedai Pizza A Taglio milik Arab Mesir, di Rom berdekatan stesen Roma Termini
Itali memang terkenal dengan piza dan pasta. Saya begitu gelojoh untuk merasa Piza Itali yang asli dan tempatan sehinggakan tersalah kedai. Pada pengetahuan saya, ada terdapat sebuah kedai piza bernama Pizza A Taglio yang menjual pizza tempatan yang halal. Tetapi tanggapan saya bahawa hanya ialah satu-satunya Pizza A Taglio memang salah. Pada kali pertama bertemu Pizza A Taglio, labelnya berwarna hijau dan tiada pula tanda Halal dipamerkan. Namun kerana sangat lapar, sempat kami melantak beberapa potong pizza. Tersebutlah kisah apabila ternampak pula Pizza A Taglio berwarna kuning (gambar) yang terpampang tanda Halal. Berdekatan dengannya, berderet restoran Halal yang lain antaranya restoran Arab yang kami kunjung untuk mendapatkan nasi. 

'A Taglio' bermaksud yang dipotong. Pada hemat saya, yang 'dipotong' itu ialah dagingnya disembelih. Rupanya yang dipotong itu ialah piza itu sendiri, kerana pizanya dibuat begitu besar dan dijual mengikut gram.

Manakala di Florence, kami bernasib baik kerana pemilik hostel Locanda Rocco merupakan muslim dari Albania. Dua pemuda yang bertugas juga muslim dari Albania. Salah seorangnya sangat mesra dan dengan sukarelanya menunjukkan kami restoran Turki yang berdekatan. Doner kebab kambingnya sangat lazat! Seorang lagi gelagatnya sedikit garang dan ketat.


Di Maddina Tandoori Restaurant berdekatan Ponte Vecchio, ada juga dihidangkan dengan menu pasta dan pizza (dalam video) tidak lupa juga pelbagai hidangan Pakistan. Menurut pemiliknya yang menyifatkan nama saya seakan nama gangster di Pakistan, Yang Di Pertuan Agong ada singgah untuk makan di restorannya beberapa bulan sebelumnya. Bersungguh dia meyakinkan kami dengan menunjukkan sekeping gambar dia bersama Tuanku Abdul Halim.

Kesimpulan, Itali seluruhnya cukup mudah untuk mendapatkan restoran milik muslim tidak kiralah Turki, Maghribi, Libya, Mesir atau lain-lain. Penat berjalan-jalan, nikmatnya bila bertemu makanan.

Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut suka hati!

Saya ketika di Venice. Restoran kecil menjual piza dan kebab yang dikhabarkan pemiliknya muslim dari Iran

2 comments:

 
Facebook Instagram Facebook