23.2.13

Tipikal 'Eurotrip'

| | 3 comments
Muak dengar 'eurotrip'! Mungkin saya terpengaruh dengan idea daripada abang yang menganggapnya sebagai membosankan. Itu kata dia, yang lebih menjurus kepada sesuatu yang lebih 'adventure' dan juga 'true backpacker'. Walauapapun, saya lebih cenderung untuk melihat pemandangan semulajadi dan suasana tempat.

Suasana di Zurich

Ini pula di Vienna
Tahun lalu, melawat ke bandar-bandar di Eropah benar merungkai beberapa persoalan. Pertama, muzium dan galeri bukan tempat yang ideal untuk saya lawati. Bukan kerana saya langsung tidak sukakan sejarah tetapi kerana saya malas membaca, dan hanya sebahagian sahaja yang menarik perhatian saya. Masuk melihat 'berhala' lilin di Madame Tussaud merupakan satu kesilapan yang sederhana besar kerana saya kurang mengenali nama-nama artis yang hanya membuatkan saya melopong pada kebanyakannya. Dan yang paling penting dari situlah saya berpendapat mungkin saya lebih gemar melihat alam. Sangkaan saya memang betul ketika mana saya sampai di kota Bern, Switzerland & seterusnya ke Interlaken serta Grindelwald. Kota Bern sangat cantik dan bersih! Sungai yang biru serta orangnya yang peramah dan prihatin, membuat saya terus jatuh hati. Semasa kami sesat di kota Bern, ada seorang awam menawarkan bantuan tanpa kami memintanya. Itu buktinya.

Dalam perjalanan ke Interlaken
Saya di kota UNESCO Bern dengan rambut kelakar
Di Interlaken saya dan sepuluh yang lain menginap di sebuah rumah banglo besar milik seorang nenek tua bernama Heidi, yang dia jadikan rumah tumpangan. Teringat saya pada sebuah novel Inggeris kakak saya yang selalu emak gambarkan sedih dan simpatinya kepada seorang kanak bernama Heidi watak dalam novel tersebut. Ya, nenek Heidi ini sangat baik dan peramah. Sempat dia bercerita tentang memori rumah tersebut dengan arwah suami serta anak-anak yang sudah besar dewasa. Katanya, Interlaken dahulunya bukan tempat pelancongan yang sekarang dipenuhi pelancong sebagai destinasi sukan salji. Dia juga gemar dan selalu membawa anak-anak untuk 'ice-gliding' pada waktu mudanya. Bersungguh dan gembira dia bercerita.

Saya juga sempat bermain salji di Grindelwald, kampung berdekatan Interlaken tapi lebih tinggi dan saljinya lebih tebal. Saya juga berkesempatan berjalan-jalan di kampung itu sementara yang lain sibuk bermain salji membuat snowman. Rumah-rumah kebanyakan daripada kayu dan bata merah. Ada juga reban rusa, yang buat saya fikir mungkin majoritinya petani. Sebelum meninggalkan kampung ini, salji melebat dengan lembut buat saya tenang dengan kecuaian kawan saya pecahkan lensa kamera saya.

Gambar profil facebook. Lihat rumah di belakang
Di kota yang sibuk London, semua berkejaran menghambat waktu. Dan Paris bukan kota kegemaran saya kerana orangnya yang agak dingin dan kurang peramah, ada juga tempat yang kurang bersih, mungkin juga kerana terlalu ramai pendatang. Ada pernah seorang lelaki kulit putih mengaku Muslim dan meminta duit sewaktu saya di stesen tren. Barangkali kerana terlihat passport merah saya semasa mengalihkannya ke poket dalam jaket. Sekali, ada lelaki kulit hitam merangkak masuk ke platform tren tanpa tiket. Berbeza di Vienna dan Berlin, bebas keluar masuk platform, bergantung seratus peratus atas kejujuran penumpang untuk membeli tiket dan mengecop sendiri di mesin automatik yang terdapat samada di platform atau dalam tram/tren.

Vienna tidak kurang cantiknya. Hostel-hostelnya murah dan lapang selesa berbanding di London serta di Paris yang kecil dan mahal! Kami juga berpeluang ice-skating pada waktu malam dekat Rathaus semasa di Vienna. Kawasannya yang sangat luas dipenuhi orang tempatan yang mahir meluncur. Takjub saya melihat seorang mak cik yang sangat hebat meluncur! Namun ada juga yang tidak. Saya terserempak dengan seorang perempuan 20-an sedang mengajar teman lelakinya meluncur yang mengajak saya turut serta belajar.

Stephansdom, Vienna
Dekat designer outlet, Pandorf Austria. Bukan destinasi backpacker sejati
London Tower Bridge, mercu tanda selain Trafalgar Square, Big Ben Clock Tower, Westminster Abbey dsb.
Semasa penerbangan balik dari London, seorang pemuda Kurdistan berkongsi cerita dengan saya. Dia berkongsi kesempitan hidupnya pada masa lalu ketika berumur 18 tahun yang menyebabkannya terpaksa meninggalkan keluarga dan berhijrah ke kota London. Menurutnya sekarang dia sudahpun mempunyai restoran pizza sendiri di Newcastle. Ramai penuntut Malaysia di sana yang menjadi pelanggannya.


London Eye
Malam di menara Eiffel, simbol arus perdana kota Paris






Bercuti pada musim sejuk di negara Eropah bukanlah pilihan yang terbaik. Dengan keaadaan yang sejuk, kebarangkalian hujan yang tinggi serta jalan yang basah dengan air atau salji yang mencair boleh merimaskan!

Siang yang pendek dan malam yang panjang juga menghadkan jadual. Kedai dan tempat melawat kebanyakannya tutup lebih awal dan suasana malamnya 'tidak hidup' berbanding pada musim panas. Langit yang suram tidak membantu anda mendapatkan gambar terbaik.

Tetapi, kelebihan bercuti pada musim sejuk membolehkan anda berjimat. Harga tiket penerbangan dan hostel/hotel memang lebih murah. Begitu juga dengan tren. Tempat-tempat juga sedikit tenang kerana pelancong yang kurang. 








Dari London ke Paris, saya mengambil jalan udara kerana sedikit lebih murah pada ketika itu. Juga dalam diam berharap untuk mendapat koleksi cop baru pada passport. Namun, kurang bernasib baik kerana pekerja imigresen tidak menjatuhkan sebarang cop melainkan bertanyakan beberapa soalan.

Melalui tren bawah laut memang seakan-akan 'kool'. Ramai yang membayangkan menaiki tren bawah laut dari London ke Paris boleh melihat pemandangan marin. Bayangan yang jauh menyimpang! Ianya hanyalah tidak lain sama sahaja seperti perjalanan tren biasa yang boleh dikatakan membosankan.

Keduanya mempunyai kos yang hampir sama serta mengambil masa perjalanan yang sama untuk sampai ke destinasi. Dari segi keselamatan, perjalanan udara lebih selamat berbanding jalan-jalan lain. Manakala dari segi 'eco-friendly', tren lebih bertepatan.




Antara meronda di London, memanjat (dengan lif) menara Eiffel dan ber'kanak-kanak' di Disneyland Paris, berjalan dalam kesejukan Vienna, saya paling suka semasa berada di Swiss. Sungguh, rasa ingin kembali datang untuk sesuatu yang berbeza seperti skydiving, wwoofing atau couchsurfing.


Berjalan ke banyak destinasi dalam jangka waktu yang singkat sungguh memenatkan!

3 comments:

  1. wow, bestnya dapat bjalan kat ngara orang.. xpe2, satu ari nati, insyaALLAH..:)

    BalasPadam
  2. slalunya kan kalau travel dkat tmpat owg mcm nei, apa pkara yg paling mcabar awk??bestnyaaa bjalan..bnyak bjalan luas pmandangan..;)

    BalasPadam

 
Facebook Instagram Facebook