25.2.13

Perkenalan di Istanbul

| | 0 comments
Pemandangan laut dalam perjalanan dari pelabuhan Karakoy Iskelesi ke Eminonu memang indah. Masjid Biru dan kubah-kubah serta menara-menara di seberang dapat dilihat dari kejauhan. Sedang ralit saya menangkap gambar, seorang pemuda mempelawa untuk tolong menangkap gambar saya di dalam feri. Tiada sebab untuk saya menolak. Kami berkenalan dan terus berborak rancak walaupun dia kurang fasih berbahasa Inggeris. Saya selesa berbual dengannya, mungkin kami 'klik' dengan cepat walaupun baru sahaja kenal. Pemuda bernama Batuhan ini sebaya dengan saya dan pelajar akauntan di universiti swasta Ticaret Istanbul. Dia juga seorang muslim dan tahu sedikit berbahasa Arab. Sempat dia berjenaka tentang maksud nama saya. Guraunya, saya kelihatan 'cerdik' tanpa perlu saya memberitahu nama saya ialah 'cerdik'. Apabila saya bertanya tentang tempat asalnya, jawabnya di tengah-tengah Turki sedikit ke Timur yang namanya tidak pernah saya dengar dan ianya bukanlah Istanbul. Aduh!

Apa yang mengejutkan saya ialah apabila dia dengan sukarela meleret kad tramnya untuk saya walhal destinasi kami berbeza dan dia tergesa-gesa untuk ke kelas. Keraguan saya akan keramahan dia sebelumnya hilang serta-merta. 

Inilah Batuhan, pemuda Turki yang menolong saya di Istanbul
Salji turun dengan lebatnya semasa kapal terbang selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen. Tebal salji pada ketika itu, namun tidak terlalu tebal dan mengizinkan operasi di lapangan berjalan dengan lancar.

Bangunan utama lapangan terbang Sabiha Gokcen dari dalam bas. Seakan lapangan terbang Kota Kinabalu
Lama menunggu bagasi membuatkan saya naik meluat. Waktu Subuh hampir tamat. Saya tidak tahu mana satu di antara khidmat lapangan terbang atau syarikat penerbangan yang cela. Syarikat penerbangan berkos rendah Pegasus Airlines yang saya ambil mungkin setaraf Malaysia Airlines (MAS), kecuali perjalanan selama tiga jam dari Berlin ke Istanbul tanpa ada sebarang hidangan. Setahu saya, MAS menyediakan hidangan untuk perjalanan lebih 60 minit. Jika dibandingkan dengan EasyjetRyanair atau Air Asiatambang Pegasus Airlines sudah termasuk bagasi kargo. Keluhan saya masih belum berakhir sedari di terminal lapangan terbang Berlin Schonefeld yang serabut dan sesak semalam, di sini pula saya tercegat menunggu bagasi hampir setengah jam dan di penghujung fajar.

Seusai menunaikan solat Subuh 'gajah', saya menukar Euro kepada Lira Turki walaupun saya maklum Euro juga diterima di sini. Kemudiannya saya cepat-cepat bergegas mencari bas ke pelabuhan Karakoy dan berharap untuk semuanya cepat dan lancar. 

Bilik saya di atas, bercahaya dari lampu. Angin kencang pada malamnya dan salji masih tidak henti-henti.
Saya sampai terlalu awal di Hostel pagi itu. Namun, saya disambut baik dan dipelawa untuk sarapan di loteng paling atas. Walaupun mengantuk, saya berusaha memanjat tangga berpusing yang sempit hingga ke atas kerana perut berkeroncong. Sungguh enak bersarapan sambil menikmati keindahan Masjid Sultanahmet dan laut Marmara serta burung camar berterbangan.

Ketika saya mengisi masa melayari internet sambil menunggu mendapat bilik, seorang pelajar Amerika warganegara Thailand menegur saya di meja komputer dekat dengan kaunter hostel. Mati-matian saya ingatkan dia Melayu! Dia datang bersama-sama beberapa temannya yang berbangsa Amerika. Tidak hairanlah bahasa Inggerisnya ditutur begitu fasih walaupun sedikit pelat. Mereka bersungguh mengajak saya untuk keluar berjalan bersama tapi saya menolak. Saya beralasan kerana belum mendapat bilik tetapi mereka masih berharap saya boleh turut serta. Pekerja hostel juga meyakinkan saya dia akan menjaga beg saya di kaunter. Bukan mengapa, saya sangat letih dan memang memerlukan tidur buat masa itu. Mereka faham dan menghormati keputusan saya.

Suasana di pekan Istanbul
Masjid Biru atau Masjid Sultanahmet
Berdekatan Masjid Biru. Hagia Sophia/Ayasofya gah tersergam di belakang
Dalam Ayasofya yang sekarang ialah muzium, dulunya gereja dan dulunya masjid dan silih berganti!
Di perkarangan Masjid Biru selesai Isha'
Bersolat Isha' di Masjid Biru memang berbaloi dan saya tidak menyesal walaupun sejuk menggigil tanpa pemanas. Memang besar nan indah. Di dalamnya luas dan tinggi. Sudah sahaja solat, seorang pemuda Arab dari Palestin memperkenalkan diri kepada saya. Jalannya seakan tempang. Kononnya dia ditembak di bahagian peha dan meminta duit untuk rawatan serta makanan. Tiga hari dia berikat perut katanya. Akhirnya, saya tidak menghulurkan sesen pun kerana kurang percaya dan berasa aneh; kenapa saya, bukan makmum-makmum lain? Kesal juga dengan sifat kedekut saya sekembalinya ke hostel. Tipulah kalau saya langsung tidak simpati.


Pelbagai barangan kulit & pashmina di Grand Bazaar

Teringat pada petangnya saya begitu boros memborong cenderahati untuk keluarga di Grand Bazaar. Penjual juga melayan baik malah menghidangkan teh serta banyak barang percuma diberikan sebagai hadiah. Harga juga berpatutan setelah berhempas pulas tawar-menawar, sama sahaja berurus niaga dengan Arab nampaknya.

Benar, buat saya menyesal tidak bersedekah dan rasa bakhil!

Teman sebilik saya adalah seorang Kanada, berumur pertengahan 40an. Kali ini saya membuat keputusan untuk menegur terlebih dahulu. Dia membalas baik teguran saya dan meminta saya untuk hanya memanggilnya Peter. Pak cik Peter banyak bercerita dan kami sambung berborak panjang di restoran berdekatan kerana saya belum makan malam. Dia menawarkan diri untuk menemani saya walaupun dia sudahpun makan dan membawa saya ke sebuah restoran makanan laut kegemarannya.


Pak cik Peter, pelancong dari Kanada hanya mengenakan kemeja-T nipis untuk keluar malam itu. Santai!
Daripadanya, saya tahu bahawa dia seorang pesakit Schizophrenia pada masa lalu dan masih mengambil ubat. Patutlah lagaknya pelik sedikit. Dia bercerita tentang pengalamannya semasa dia sakit teruk sehingga pernah tidur di kaki lima kerana emosi yang berkecamuk. Katanya, manusia sangat penting diri dan kejam. Dia pernah diludah di muka, disepak, dimaki semasa dia gila. Yang menariknya, selepas dia sembuh ternyata dia jauh lebih baik kerana dia sudah setahun berhenti 'minum' dan dalam usaha berhenti merokok! Dua minggu masih berbaki sebelum dia kembali ke tanahair dan juga genaplah tiga bulan dia di kota ini. Istanbul menjadi destinasi kegemarannya dan hampir setiap tahun dia datang ke sini. 'Di sini lebih hangat' katanya, sedang saya menggigil beku!

Pak cik Peter juga gemar mengembara/melancong. Bermula pada usianya 19 tahun lagi; 'sama sahaja seperti kamu' katanya lagi dan kali ini sambil tersengih.

Ah, sungguh banyak celoteh Peter!

0 comments:

Catat Ulasan

 
Facebook Instagram Facebook