24.2.13

Di Munich Kembara Bermula

| | 0 comments
Mengembara solo memang ada pernah bermain di fikiran. Tetapi tidak pernah terlintas pada umur 19 tahun dan di negara asing. Tidak juga mendapat saranan daripada sesiapa, jauh sekali emak. Mungkin ianya menjadi kebiasaan remaja-remaja lain terutamanya remaja barat. Seorang pemuda Amerika 22 tahun pernah berborak dengan saya menceritakan dia sudah lama tidak pulang ke Amerika, malah tidak pernah sama sekali semenjak dia meninggalkan tanah besar itu pada umur 17 tahun. Dia mengambil keputusan untuk berhenti belajar dan menuju ke destinasi pertama iaitu di England. Katanya dia hanya berasal dari kampung dan daripada keluarga sederhana tetapi dia tahu beberapa bahasa luar dan jelasnya, mahir berbahasa Inggeris. Kelebihan itu ditukarkan sebaik mungkin menjadi wang. Dia pernah menjadi pemandu pelancong di England dan juga tutor bahasa Inggeris di Mesir serta bakal ke Istanbul.

Sarapan pada pagi sesampainya di Munich, Jerman
Perjalanan tren ke Munich, Selatan Jerman saya rasakan teramatlah panjang! Jadualnya pada waktu malam, tidak membantu saya untuk menikmati tidur yang lena. Bosan tiada teman untuk berbual, bimbang tiada yang mengejutkan tidur. Lagipula, keledar bukan boleh dijadikan katil. Lebih malang, tren yang dinaiki berhenti di banyak perhentian dan perlu menukar tren. Tidak lupa juga angin musim sejuk bertiup pada waktu malam, memang terasa hingga ke tulang. 

Sambil menunggu untuk menukar tren, ada seorang gila menegur saya, ada juga polis mengejutkan saya semasa tidur di sebuah restoran dan ada pula dikejutkan oleh konduktor tiket tren apabila sampai di destinasi. Memang sesuatu yang biasa tetapi keadaan di dalam tren, di semua stesen yang sangat lengang kerana sedikit manusia dan  kedai-kedai pula ditutup menjadikan saya sedikit janggal. Kecuali hanya di satu stesen, penuh dengan penggemar sukan salji menjinjing snowboard ke hulu ke hilir.

Platform dan tren lengang tanpa manusia
Banyak tempat menarik di sekitar bandar Munich dan yang paling saya teruja, bandar ini juga terdapat banyak restoran-restoran halal yang boleh dikatakan terdapat di setiap blok. Saya juga dapat menemui masjid dengan mudah sekali dan membolehkan saya solat jamak taqdim Zohor dan Asar. Majoriti muslimnya adalah dari Turki, Balkan dan Arab Afrika.

Perasaan tenang dan mengujakan apabila bertemu Muslim walau hanya bertukar senyuman
Tengah saya berjalan menuju ke Olimpiapark, terserempak pula dengan sekumpulan pelajar Malaysia yang menuntut di Russia bersama seorang Doktor yang sedang melanjutkan pengkhususan perubatan di Jerman. Mereka sedikit terkejut kerana saya berseorangan dan meyakinkan bahawa Munich adalah bandar yang selamat.

Dalam Muzium BMW berhampiran dengan Olimpiapark
Schloss Nymphenburg waktu senja. Antara yang saya lawati semasa di Munich. 
Stesen Marienplatz. Munich memang tersohor dengan banyak stesen metro bawah tanah yang unik & menarik
Berlainan dengan kota pelabuhan Hamburg di Utara Jerman, saya dapati begitu susah mencari tempat yang sesuai untuk solat sehingga saya terpaksa solat di atas bas. Dan kebanyakan metro tidak beroperasi di bawah tanah. Entah mengapa, saya berasa seakan sama suasananya dengan kawasan Gombak dan Selayang sewaktu singgah di kota ini. Sama tapi tidak serupa.

Miniature Wonderland di Hamburg begitu sesak dengan orang ramai
Selain kepesatan dan keunikan metropolitan Berlin, saya juga terpegun dengan keindahan  warganya. Sekali lagi, seorang lelaki 30an dari Switzerland membantu saya membaca peta. Sungguh, bangsa Aryan tinggi luhur budinya! Kejujuran warganya juga saya amat kagumi. Sungguh memalukan apabila saya didenda kerana tidak mempunyai tiket semasa menaiki metro pada hari terakhir di sana. Bukan apa, saya sangat kelam kabut dan pening tidak tahu di mana mesin untuk membelinya. 40 euro perlu saya bayar bagi kejujuran saya yang meleset. Maklumlah, tren berfungsi atas prinsip 'jujur' (baca). Lain kali jika ingin berjimat tidak membeli tiket, mungkin saya akan berbuat begitu di siang hari saja kerana pada lewat malam polis mula keluar beroperasi memeriksa. Mungkin juga saya akan berlaku jujur dan membelinya.

Berlin Hauptbahnhof, stesen tren utama yang bertingkat-tingkat dan ini platform di tingkat paling atas
Berliner Dom, katedral yang membezakannya dengan bandar-bandar lain
Limousine sekitar Pariser Platz
Jati dan lambang kota Berlin. Brandenburg Gate, Pariser Platz
Di hadapan Fernsehturm Berlin (menara) berhampiran Alexanderplatz. Boleh melihat seluruh Berlin dari puncak, juga terdapat restoran pusingan
Jerman antara negara yang menjadi kegemaran saya dan jujurnya saya sangat berpuas hati dapat berpeluang ke sana. Jika berkesempatan lagi, saya tidak teragak-agak untuk menziarahi negara ini pada masa akan datang. Bukan sahaja Jerman, melawat ke negara asing secara keseluruhannya adalah pengalaman yang sangat rugi jika disia-siakan!

0 comments:

Catat Ulasan

 
Facebook Instagram Facebook